Ad Code

Nasi Udang Celup Tepung Spicy Buttermilk 'Signature' Restoran Suatu Perjalanan Shah Alam

Apabila melihatkan kepada satu frasa 'suatu perjalanan' pastinya tergambar satu naskah tajuk novel mengenai sebuah perjalanan tidak kira perjalanan hidup atau perjalanan 'travel'.

Nasi Udang Celup Tepung Spicy Buttermilk
Nasi Udang Celup Tepung Spicy Buttermilk


Namun, (dibisik ala iklan kurma), ia sebenarnya nama sebuah kedai makan yang terletak di Jalan kebun Shah Alam Selangor. Pada hemat penulis nama restoran ini sudah agak unik dan istimewa.


Nasi Udang Buttermilk (Signature)

Set Nasi Udang Buttermilk
Set Nasi Udang Buttermilk


Nama restoran sudah agak unik, apakah menu makanan yang ada di Restoran Suatu Perjalanan Jalan Kebun Seksyen 32 ini juga seunik namanya. Memandangkan penulis pertama kali datang mencuba makanan di sini, penulis memulakan ulasan kali ini dengan makanan pengenalan (signature) restoran ini iaitu Nasi Udang Buttermilk.

Kondimen Dalam Nasi Udang Buttermilk

Menu ini datang dalam porsi sepinggan sederhana. Agak sesuai untuk seorang sahaja menikmati hidangan ini.

Kondimen Dalam Menu Udang Buttermilk
Kondimen Dalam Menu Udang Buttermilk


Semangkuk nasi putih dalam dekorasi hasil telungkup mangkuk kecil. Sumber karbohidrat utama dalam menu ini.

Watak utama dalam menu ini adalah lima ekor udang dengan saiz 2 jari setengah saiznya sedang ceria dalam posisi 'tunduk udang' sebagaimana istilah tunggangan motosikal di lebuhraya ketika 'ride'.

Udang-udang yang disusun secara tersusun tunduk udang ini dialaskan dengan dua kepingan daun salad yang biasa ditemui dengan ciri beropol-ropol dihujungnya.

Menu 'signature' ini tidak begitu menyerlah jika tiada kehadiran sebekas kecil kuah pekat bewarna perang kekuningan yang pastinya merupakan perasa kepada set hidangan ini, iaitu kuah buttermilk.

Rasa Nasi Udang Celup Tepung Buttermilk 

Nasi Putih

Nasi Putih
Nasi Putih


Tidaklah begitu berperisa nasinya, nasi putih biasa yang boleh ditanak dimana-mana dapur seluruh dunia dengan periuk nasi elektrik. Namun, untuk penulis kali ini, teksturnya agak kering dan keras mungkin sedikit air digunakan untuk tanakkan kali ini. Tidak jatah tapi masih boleh dimakan.

Udang Celup Tepung

Udang yang bersaiz agak sederhana ini datang dalam populasi sebanyak lima ekor. Udang yang tersusun elok tunduk ini bukanlah semata-mata udang yang digoreng, ia adalah udang yang dicelup tepung dan telur sebelum digoreng garing.

Udang Celup Tepung Goreng
Udang Celup Tepung Goreng


Terima kasih untuk isi udang yang masih pejal dan segar, kemanisan asli pada isi udang ini masih terasa walau dimakan begitu sahaja.

Namun, untuk mendapatkan isinya, memerlukan penulis mengopek dahulu kulitnya yang membawa kepada kejadian terpisahnya keruping/keriuk celup tepung dengan udang.

Sos 'Spicy' Buttermilk

Kuah buttermilk di restoran ini dikelaskan kepada tiga variasi rasa pedas. Biasa, sederhana dan pedas. Inilah keunikan yang ada pada kuah buttermilk disini. 

Semangkuk Sos Buttermilk
Semangkuk Sos Buttermilk


Bagi pemula yang pernah merasai lada habanero, penulis mencadangkan kepada diri sendiri untuk variasi sederhana.

Selepas berjaya mengasingkan kulit udang dengan isinya, celup pula dalam kuah atau mungkin sedap dipanggil sos buttermilk memang 'syahdu' perisanya. 

Pekat, masin, berlemak dan pedas datang sekali dalam satu masa apabila berpadu di dalam mulut. Apalagi kehadiran bau 'lemak' yang biasa dihidu ketika menikmati hidangan 'buttermilk'.

Udang Celup Tepung Dengan Sos Buttermilk
Udang Celup Tepung Dengan Sos Buttermilk


Sejujurnya, tanpa kehadiran kuah/sos buttermilk ini, kelam, suram, gerhanalah menu ini. 

Nanti, mungkin boleh cuba level kuah yang paling atas. Mungkin boleh cuba dapatkan tempat duduk yang kipasnya tidak begitu 'liar', risau berpeluh.

Rating 4.5/5.0

Informasi Pengunjung

Lokasi Restoran

Terletak di tepi Jalan Bani bersebelahan dengan Restoran Chorr.Google Maps dan Waze boleh membantu.

Restoran Suatu Perjalanan Jalan Kebun
Restoran Suatu Perjalanan Jalan Kebun


Restoran Suatu Perjalanan,

PT140583-A Jalan Bani, 

Batu 7, Seksyen 30, 

Kampung Jln Kebun, 

40460 Shah Alam, 

Selangor

Harga Makanan

Nasi Udang Buttermilk : RM18.00

Waktu Operasi

Dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat bermula jam 11 pagi hingga 8 malam

Kemudahan/Fasiliti

Kerusi Baby

Cara Bayaran

Tunai

QR Duitnow

Paywave

Penghantaran Makanan

Foodpanda

Grabfood

Shopeefood/Bekal

Misi Rakyat

Hubungi

018-2556353

Catat Ulasan

0 Ulasan