Ad Code

Sarapan Pagi Di Shidi Roti Canai Kangar Perlis

Betul-betul di tepi jalan berturap yang agak tidak sibuk jalannya. Terdapat sebuah kedai makan yang pastinya menyediakan makanan pagi untuk masyarakat tempatan atau yang datang mengunjungi Perlis.

Sarapan Pagi Di Shidi Roti Canai Perlis
Sarapan Pagi Di Shidi Roti Canai Perlis


Suasana pagi di Perlis cukup tenang, apalagi nun di kejauhan kelihatan bukit bukau yang menyempadani Malaysia dan Thailand, sawah dan pokok yang begitu alam semulajadi kelihatannya. 


Kedai Makan Shidi Roti Canai Kangar Perlis

Apa kata suasana sebegini kita jadikan pembuka selera untuk menikmati sarapan di sebuah kedai makan di waktu pagi yang juga agak meriah ramainya pengunjung yang diberikan nama Shidi Roti Canai (SRC) di Kangar, Perlis.

Pintu Gerbang Shidi Roti Canai
Pintu Gerbang Shidi Roti Canai


Namanya sahaja sudah memberikan gambaran apakah menu yang ada di Shidi Roti Canai Perlis ini. Kedai makan dengan lokasinya di pinggir petak sawah padi berjaya memungkinkan untuk pengunjung parkir di bahu jalan, jangan risau Perlis penduduknya sedikit.

Suasana dan Dekorasi Kedai Makan

Pintu gerbang ringkas menyambut ketibaan pengunjung yang ingin mendapatkan sarapan pagi disini. Depan, kanan atas dan kiri adalah tempat makan. Penghujung kedai makan ini terdapat sebuah rumah yang mungkin itulah rumah tuan kedai ini.

Kedai Makan Shidi Roti Canai
Kedai Makan Shidi Roti Canai


Pengunjung boleh memilih untuk makan dalam suasana berada di atas dimana terdapat loteng sebagai ruang makan. Bagi yang gemarkan langit sebagai bumbung juga ada tempatnya. 

Terdapat juga ruang makan bagi mereka yang inginkan suasana redup dan berbumbung. Boleh dikatakan terdapat tiga variasi ruang makan yang boleh dipilih (jika tidak sesak). Mahu makan sambil menikmati telatah beruk (monyet sebenar) ada juga ruangan yang juga disediakan meja bersama buaian.

Penulis agak ingin menyarankan supaya datanglah sekitar jam 7 pagi sehingga 8 pagi. Penulis dapat pastikan bahawa waktu ini agak sesuai untuk keselesaan bagi mereka yang kuat berpeluh. 

Perlis memang agak lazim dengan iklim yang agak panas walaupun sekitar 9 atau 10 pagi, ini dari pengalaman penulis sendiri. Apalagi kedai makan Shidi Roti Canai ini hanya menyediakan kipas angin, dalam kuantiti yang agak terhad, berdoalah ditiupkan angin semulajadi dari luar.

Menu Makan Di Shidi Roti Canai

Antara menu hidangan sarapan yang ada disini adalah seperti roti canai, roti arab, roti puri, kue tiw goreng dan beberapa menu makanan waktu pagi lain termasuk nasi lemak.

Namun, oleh kerana populasi manusia ketika penulis sampai agak ramai, dan penulis memiliki kadar waktu untuk singgah bersarapan adalah terhad, penulis gagal untuk mencuba menu utama iaitu roti canai di Shidi Roti Canai. 

Adunan roti canai masih ada, namun, perkhabaran bahawa untuk mendapatkan roti canai memerlukan penulis untuk menunggu sekitar sejam lebih membantutkan usaha penulis untuk mencuba roti canainya, agak ironi.

Maka, roti arab kuah sardin, roti puri kuah gulai ayam dan kue tiaw goreng telur mata menjadi pilihan penulis untuk kali ini.

Roti Arab dengan Sambal Sardin

Roti dengan bentuk bunga kelihatan kesan hangus manja di atasnya. Lebih kepada bentuk topi artis pelukis yang bewarna keperangan lembut. Agak lembut dan gebu dari impresi pertama.

Set Roti Arab dan Kuah Sardin
Set Roti Arab dan Kuah Sardin


Dihadirkan bersama semangkuk kecil kuah sardin yang juga wujud beberapa ketul isi ikan sardin yang pastinya dari dalam tin.

Dari segi porsi dua keping roti arab ini dilampirkan pada sebuah pinggan plastik berbunga yang biasa dilihat di rumah-rumah rakyat tempatan.

Apabila mula mencubitnya, memang lembut rotinya apalagi masih suam hangat haba yang pastinya baharu sahaja dibakar. Apalagi setelah dikaut bersama isi sardin bersama kuahnya. 

Set Roti Arab dan Kuah Sardin Close Up
Set Roti Arab dan Kuah Sardin Close Up


Memang kena rasanya apabila berpadu. Kelembutan roti arab tersebut yang agak garing sedikit diluarnya apabila bersama sardin yang agak sedikit masin dan kuahnya yang tidak begitu cair dan tidak begitu pekat memang lazat.

Roti Puri bersama Kari Ayam

Roti puri di kedai makan ini datangnya dalam dua versi kuah satunya kari ayam dan satu lagi kari daging. Dalam versi singgahan kali ini penulis ingin mencuba roti puri di SRC ini dengan kari ayam.

Set Roti Puri Kuah Gulai Ayam
Set Roti Puri Kuah Gulai Ayam


Dari impresi pertama terdapat dua keping/buku roti puri datang dalam satu set. Dari segi bentuknya tidak ubah seperti kuih pau goreng, kuih pau goreng dalam versi skala yang agak besar. Dengan semangkuk kecil kari ayam yang warnanya agak cair dan kelihatan ketulan isi ayam dan kentang.

Selepas dicuba tidaklah begitu unik rasanya, memang rasanya seperti kuih pau goreng yang biasa ditemui dalam versi yang tiada inti. Garing luarannya dengan sedikit rasa ketulan-ketulan kecil pada permukaan roti puri.

Seperti dijangka bahawa kuahnya memang agak dan mungkin terlalu minimalis dari segi rasa, agak cair dan kurang berperisa. Akhirnya, kuah sardin dari roti arab berjaya menggantikan kuah kari ayam ini untuk menghabiskan roti puri.

Kue Tiaw Goreng dengan Telur Mata

Porsinya cukup sekadar membuat alas perut. Penulis boleh anggarankan kapasiti kue tiaunya adalah satu senduk gorengan yang biasa dilihat ketika membuat char kue tiaw kerang. Dengan sebiji telur ayam yang digoreng dengan api panas sehingga digelar telur mata kerbau.

Kue Tiaw Goreng Telur Mata Kerbau
Kue Tiaw Goreng Telur Mata Kerbau


Tiada sebarang keunikan dari segi rasa, tidak begitu sedap dan tidak begitu gagal ditelan. 

Rasanya boleh sahaja didapati di mana-mana rumah yang gemarkan makan sarapan dengan kue tiau goreng.

Ulasan Penulis

Secara keseluruhannya dari pengalaman penulis sendiri. Kedai makan Shidi Roti Canai adalah sebuah kedai makan pagi yang agak biasa dan sama sahaja dengan kedai makan pagi lain. Mungkin roti canainya yang istimewa tetapi penulis gagal mencubanya.

Suasana kedai makan selain dari boleh makan sama tinggi dengan paras buah kelapa, agak sama sahaja dengan kedai makan pagi yang lain. Dari segi keselesaan juga agak berkadar terus dengan waktu dan darjah kedudukan matahari.

Dari segi makanan tiada sesuatu yang unik namun harganya agak berpatutan dan murah.

Rating 3.0/5.0

Informasi Pengunjung

Lokasi Restoran

Berada di tepi Jalan Abi Batas Paip, mukim Abi. Cukup mudah ditemui kerana berada di tepi jalan sahaja..Google Maps jika boikot Waze yang juga ada infonya.

Shidi Roti Canai Kangar,

Jalan Abi Batas Paip,

Abi, 

01000 Kangar, 

Perlis

Harga Makanan

Roti Arab Kuah Sardin : RM

Roti Puri Kuah Kari Ayam : RM

Kue Tiau Goreng (ft Telur Mata) : RM

Waktu Operasi

Dibuka setiap hari kecuali hari Selasa bermula jam 6.45 pagi hingga 11.45 pagi.

Kemudahan/Fasiliti

Kerusi Baby

Cara Bayaran

Tunai

QR Duitnow


Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Kami pernah singgah disini.. Walaupun ramai, servis mereka pantas.. Makanan pun banyak pilihannya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bila menu banyak maka pelanggan boleh buat pilihan dengan cepat, sistem ala kiosk juga bagus...mudahkan pelanggan untuk dapatkan hidangan yang pelbagai dan cepat

      Padam