Melihatkan suasana dan kehidupan serta gaya untuk hidup di Putrajaya agak memberikan sedikit rasa gusar dalam menyeimbangkan populasi wang dalam dompet dengan populasi makanan yang akan memasuki ruangan perut.
Review Restoran Umai Cafe Putrajaya |
Itu adalah satu fikiran tipikal penulis apabila di tanya, kalau ke Putrajaya nak makan kat mana ?
Sering sahaja penulis melihat sebuah restoran yang memang berada di dalam keriuhan pengunjung yang datang beriadah dan bereakreasi di Putrajaya. Apalagi di kawasan Tasik Putrajaya yang adanya satu mercu tanda Monumen Milenium seperti pensel emas tersebut.
Umai Cafe Putrajaya
Demi mencuba penulis redahi jua untuk mencuba hidangan di restoran yang diberikan nama Umai Cafe ini.
Umai Cafe Putrajaya Depan |
Umai Cafe adalah satu kedai makan yang didirikan betul-betul berhadapan dengan Tasik Putrajaya yang agak strategik. Namun penulis tidak pasti apakah hidangan yang tertulis dalam menu hidangan di Umai Cafe.
Restoran Umai Tepi Tasik Putrajaya |
Tempahan Tempat Duduk Walau Walk In
Pengunjung disediakan tempat menunggu sebelum berjaya memasuki ruang makan, memerlukan sedikit tulisan tangan pada kertas sebagai tempahan walaupun sedang dalam 'mode' walk in.
Rezeki penulis, penulis tidak memerlukan penulisan tangan info peribadi pada kertas tersebut memandangkan penulis tiba ketika meja dan ruang makan ada yang masih kosong.
Ruangan Dalam Restoran
Ruangan dalamnya agak malap hanya diterjahi cahaya dari luar hasil dari terjahan cahaya dari dinding kaca yang menghadap Tasik Putrajaya.
Ruang Makan Umai Putrajaya |
Tanpa fikir panjang mata penulis melilau mendapatkan ruangan yang berdekatan dengan dinding cermin. Jika makanan kurang menyelerakan, ada juga selera pada panorama mata.
Ruang Makan Hadap Tasik Putrajaya |
Menu Hidangan Umai Cafe Putrajaya
Beberapa ketika penulis mula didatangi staf yang sedang berdiri tegak di dinding dapur mencari pelanggan untuk diberikan menu makanan.
Dalam menu makanan tersebut, terdapat beberapa menu yang penulis sentiasa temui dimana-mana kedai makan sarapan pagi dan untuk belekan seterusnya penulis terlihat beberapa perkataan dalam nama masakan seperti kedai-kedai masakan panas yang lain.
Menu makanan yang disediakan di Umai Cafe adalah lebih berunsurkan sarapan pagi seperti;
1. Lempeng
2. Roti Jala
Manakala untuk makanan yang memerlukan hadaman yang lebih lama, adalah seperti;
1. Nasi Goreng
2. Mi/Bihun/Kue Tiau Goreng
3. Pelbagai Sup
Pemilihan Menu Makanan
Dari hasil telaah dan pembacaan menu tersebut, penulis dan keluarga berjaya memberikan kata sepakat untuk mendapatkan menu sarapan dan menu makan tengahhari dalam waktu makan yang sama.
Antara menunya;
1. Nasi Goreng USA
2. Nasi Goreng Kerabu
3. Lempeng
4. ROti Jala
Durasi Masa Menu Siap
Dalam 15 minit, menu yang sampai adalah dua jenis air. Diikuti 5 minit seterusnya adalah lempeng dan roti jala. Penulis sedar USA agak jauh dari Putrajaya maka mengambil masa sedikit lama untuk sampai ke meja sekitar 30 minit selepas dipesan.
Apa yang agak menghairankan adalah nasi goreng kerabu yang agak liat untuk sampai ke meja kami sekeluarga. Memerlukan sedikit panggilan kepada staf untuk memujuk nasi goreng kerabu datang ke meja kami.
Durasi lengkap untuk semua hidangan berjaya singgah dan menetap di atas meja adalah sekitar 45 minit selepas pesanan.
Ulasan Makanan Di Umai Cafe
Nasi Goreng USA
Lengkap 'USA'nya, dengan nasi goreng, daging masak merah, telur mata kerbau, sedikit salad dan dilengkapkan dengan sup kosong. Dari impresi pertama agak menyakinkan ia adalah menu yang betul.
Sepinggan Nasi Goreng USA |
Dari segi nasi tidak begitu unik dan spesial, sekadar nasi goreng cina yang masih memiliki rasa minyak masak dan masin dari garam.
Kesedapan nasi goreng USA hanya terletak pada masakan daging masak merahnya, lain kondimen sekadar melengkapi. Kuah yang cukup pekat serta likat dari teksturnya ditambah pula dengan rasa pedas yang sederhana menandakan boleh tahan rasanya.
Hirisan daging yang tidak sekata bentuknya, kadang-kadang daging, kadang-kadang urat, tidak mematahkan selera penulis oleh kerana hirisan dagingnya agak lembut namun apabila sampai pada ketulan urat, penulis risau adakah ianya adalah gula-gula getah.
Nasi Goreng Kerabu
Nasi goreng yang agak ringkas ini pada sekali imbas adalah antara yang agak lama untuk sampai, penulis beranggapan adalah sedikit gincu, blusher, atau eyeliner kerana lamanya untuk sampai, namun, memberikan sedikit kekecewaan melihatkan impresi pertama yang agak biasa.
Nasi Goreng Kerabu |
Apa yang pasti, serai menjadi kondimen utama berbanding nasi goreng. Seumpama satu ujian barangsiapa yang berjaya membuang racikan serai semuanya, anda akan dapat hidangan percuma, tapi itu hanya anganan penulis.
Namun, setelah dicuba tiada sebarang rasa unik yang boleh penulis rekomendasikan melainkan nasi goreng yang agak biasa dengan sedikit rasa pedas dan pergelutan dengan racikan halus serai.
Lempeng Dengan Sambal dan Kari
Hadirnya sekeping lempeng dengan kesan sedikit hangus manja pada jasadnya. Ditemani dua sos untuk dicicah, iaitu sambal nasi lemak dan kuah kari.
Lempeng Kuah Dal dan Sambal |
Lembut teksturnya lempeng tersebut, walaupun tanpa rasa, kelembutannya membolehkan penulis menikmati lempeng ini begitu sahaja.
Apalagi kalau dicicah bersama sambal ikan bilis yang agak pedas, kurang sesuai untuk mereka yang tidak makan pedas dan kanak-kanak. Mungkin penulis akan mencuba nasi lemak mereka pula kerana mula jatuh cinta dengan sambalnya.
Kuah karinya ? Mengecewakan, agak cair dan kurang berperisa. Sambal berjaya memberikan kuah kari sedikit kegembiraan.
Roti Jala dan Kari Ayam
Wow! ini yang penulis rasakan apabila memulakan suapan roti jala dan kari ayam. Sedap, dengan keenakan dan tekstur roti jalanya, kena pula kuahnya yang begitu pekat dan penuh dengan perisa.
Roti Jala Putrajaya |
Dalam menu yang penulis cuba di Umai Cafe, ini antara yang sedap.
Informasi Pengunjung
Lokasi Restoran
Cukup mudah untuk ditemui, sebuah bangunan ringkas berhadapan Tasik Putrajaya. Berdekatan dengan Mercu Tanda seperti pensel (Millenium Monument) dan kawasan parkir yang agak luas.
Google Maps jika boikot Waze yang juga ada infonya.
Umai Cafe,
Bangunan ANJUNG Alaf BARU,
62675, Wilayah Persekutuan Putrajaya
Dibuka setiap hari kecuali hari Isnin bermula jam 9 pagi hingga 5 petang
Kemudahan/Fasiliti
Kerusi Baby
Tanda Awam
Cara Bayaran
Tunai
QR Duitnow
0 Ulasan