Ad Code

Nasi Ayam Penyet Di Triana Pitstop Food Truck Telok Panglima Garang

Impresi pertama apabila mendengarkan nama hidangan ayam penyet adalah ayam goreng garing tanpa perisa yang berjaya dihempuk atau diketuk tidak kira dengan tukul atau sisi pisau pemotong daging.

Nasi Ayam Penyet Foodtruck Triana Pitstop
Nasi Ayam Penyet Foodtruck Triana Pitstop


Dari keadaan ayam tersebut munculnya nama penyet, jangan pula terbayangkan seekor ayam yang agak tidak yakin untuk melintas jalan, akhirnya dilanggar lori sehingga penyek dan terus ayam tersebut dimasak, tidak.


Mencari Citarasa Makanan Indonesia

Tambahan pula apabila anda berada di kawasan yang citarasanya ala jawa dan keindoan. Tidak kira pendatang indo yang datang dari zaman dahulu, yang beranggapan mereka 'anak jati', atau kedai makan dengan orientasi indonesia oleh masyarakat tempatan.

Kebiasaanya apabila 'taste bud' penulis mula ingin menikmati nasi putih dengan lauk ayam garing diketuk yang tiada perisa dengan sambal lada dan tomato yang dilenyek bersama bawang, penulis akan mencari di kedai makan.

Nasi Ayam Penyet Food Truck

Namun, kali ini penulis berpeluang untuk menikmati satu hidangan ayam penyet dalam versi 'nomad' dan berpindah randah. Dalam bahasa mudah nasi ayam penyet yang dijual menggunakan trak makanan (food truck).

Nasi Ayam Penyet Atas Foodtruck
Nasi Ayam Penyet Atas Foodtruck


Makan Malam Di Triana Pitstop Food Truck

Triana Pitstop merupakan satu kawasan baharu untuk pencinta makanan dari 'Food truck' di Telok Panglima Garang, Banting. 

Lokasinya di kawasan parkir yang disediakan dalam kawasan rumah kedai. Malam minggu memang akan sentiasa penuh dengan pengunjung yang inginkan suasana malam minggu seumpama uptown. Turut dikenali sebagai Tropicana Aman.

Set Nasi Ayam Penyet
Set Nasi Ayam Penyet


Disinilah penulis berjaya mencuba satu menu hidangan nasi ayam penyet dengan harga yang agak keras.

Nasi Putih

Tiada yang agak istimewa pada nasinya. Nasinya adalah nasi yang di tanak dengan air sedikit berlebihan yang menghasilkan satu hidangan nasi putih dengan tekstur yang agak berjus dan lembik.

Nasi Putih Lembek
Nasi Putih Lembek


Porsinya tidaklah begitu banyak namun sedang-sedang lebih kurang semangkuk biasa.

Rasa ? Tawar. Obviously.

Ayam Goreng Penyet

Seperti mana-mana ayam penyet yang pernah penulis cuba. Ayamnya adalah ayam yang disalut sedikit perapan ringkas yang telah digorenng di dalam satu kuali besar dengan kapasiti minyak yang banyak dengan kekuatan haba yang besar.

Ayam Goreng Garing dan Keriuk
Ayam Goreng Garing dan Keriuk


Maka terhasillah satu ayam goreng yang cukup ranggup, sehingga boleh menyebabkan kekeliruan apabila diletakkan keropok jajan dengan kulit ayam ini, masing-masing ranggup.

Tekstur isinya berbeza dengan bahagian luaran, ambillah bahagian peha sehingga pangkal pelvis ayam, teksturnya masih berjus dengan warna ayam putih dan licin.

Porsi Peha Ayam Goreng
Porsi Peha Ayam Goreng


Dari segi rasa, tiada rasa istimewa melainkan sedikit kemasinan apabila terdapat bahagian yang telebih menerima kesan haba dari minyak. Bau dan rasa rempah kadang-kadang akan hadir.

Sambal Penyet

Impresi pertama pada sambal penyet yang ada didalam satu mangkuk plastik mini yang biasanya digunakan untuk cili potong. Dikisar cantik dengan warna merah menuju ke arah warna gelap. Tidak kelihatan lebihan tomato atau cili yang digunakan, cukup pekat dan semestinya dikisar mesra tanpa teman.

Sambal Penyet Berapi
Sambal Penyet Berapi


'Kejahatan' atau 'impak hero' dalam sesbuah hidangan nasi ayam penyet adalah sambalnya. 

Antara sedap, pedas, masam, segar atau hambar. Percayalah semua nasi ayam penyet, bezanya adalah pada sambalnya.

Bagi sambal penyet ini, penulis boleh berikan 'benchmark' kepedasannya menghampiri rasa pedas sambal nyet dari Khairulaming. Betul, walaupun suapan sambalnya mungkin sudah bergaul mesra di bahagian salur darah, denyutan rasa pedasnya masing menari-nari di atas bibir, mungkin sekali sekali menghadirkan lelehan di hidung, tetapi bukan penulis.

Rasa masam dari tomato dan sedikit air asam jawa, mungkin hadir apabila memulakan suapan pada sambal ini. Apabila di dalam mulut, cukup menarik, apalagi apabila digaul dengan nasi lembik, dan ditemani dengan ayam yang garing. Perpaduan ummah untuk kemaslahatan rasa 'umami'.

Percayalah sambalnya sedap, dan pedas yang sehingga mampu memberikan denyutan bibir dan jika dimakan dengan tangan, ia berpindah ke jari jemari. 

Sup Kosong , Tauhu & Tempe Goreng dan Ulam

Sup dengan perisa ajinomoto dengan warna jernih dengan taburan hirisan daun bawang boleh dijadikan sebagai pelincir selain dari minuman yang dipesan.Seperti biasa ulam timun dan daun kubis keras tidak ketinggalan dalam menu.

Tauhu dan Tempe Goreng
Tauhu dan Tempe Goreng


Kehadiran tempe goreng menambahkan lagi 'vibe' rasa orang seberang. Rasa lemau dan masam-masam kacang soya.

Sup Kosong Ayam Penyet
Sup Kosong Ayam Penyet


Harga Hidangan Ayam Penyet Foodtruck Triana

Apabila bercerita mengenai harga makanan membabitkan food truck, penulis biasanya akan terus menepuk dompet yang sedia kempis. Memang 'standard'nya agak mahal berbanding harga masyarakat umum.

Satu set nasi ayam food truck di Triana Foodstop ini berjaya dibelanjakan sebanyak RM12. 

Namun, untuk ayam yang garing dan sambal yang agak meninggalkan kesan fizikal dan rohani, agak berbaloi untuk sekali sekala.

Informasi Pengunjung

Lokasi Restoran

Terletak di kawasan parkir Triana Pitstop Telok Panglima Garang. Berhadapan dengan kedai Perabot Kini dan sekitar Ecoshop Tropicana Aman. Jika ada data internet boleh gunakan 

Google Maps jika boikot Waze yang juga ada infonya.

Triana Pitstop Foodtruck,

41200 Telok Panglima Garang, 

Selangor

Harga Makanan

Nasi Ayam Penyet : RM12/set

Waktu Operasi

Dibuka setiap hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad) bermula jam 5.30 petang hingga 12 pagi.

Kemudahan/Fasiliti

Basuh Tangan Portable

Busking

Kanak Kanak bawa kereta laju laju

Cara Bayaran

Tunai

QR Duitnow

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Antara menu yang saya suka...ayam penyet...popular juga di Sarawak

    BalasPadam
    Balasan
    1. kalau tidak ketemu dengan makanan favourite dan tak tahu nak makan mana..memang jadikan menu ayam penyet sebagai alternatif pilihan

      Padam