Dulu ketika kedai ini masih dengan 'bunting' kain yang cukup minimalis dan penuh dengan asap-asap berkepul ke udara ia masih belum dikenali ramai.
Salai Power Jalan Kebun Shah Alam Selangor |
Penulis beranggapan ia hanya sebuah warung biasa yang tipikal tumbuh sebagaimana warung dan kedai makan lain yang ada di sekitar Jalan Kebun Shah Alam/Klang ini.
Namun, agak tercicir jatuh keciciran anggapan penulis apabila kedai makan ini bukan sekadar menyediakan makanan pendatang dari Jawa atau Aceh. Memandangkan kawasan sekitar banyak pengaruh makanan dari dua bangsa ini.
Pindah Tempat Baharu
Kekangan dan had kawasan parkir kenderaan yang menjadikan jalan utama menjadi sesak antara sebab mengapa kedai makan ini berpindah dari lokasi asalnya. Tidaklah begitu jauh hasil perpindahan kedainya hanya dalam 300 meter sahaja yang mampu menampung ramai pelanggan.
Dekorasi Hadapan |
Sebelum kedatangan pempengaruh makanan yang popular, kedai makan ini sudah lama menjadi pilihan penulis ketika ingin mendapatkan kepelbagaian dalam citarasa. Dari zaman kedai ini masih dengan muatan kapasiti pelanggan yang agak terhad dengan 'set-up' kedai yang cukup biasa sehinggalah sekarang sudah mampu untuk menjadi sebuah kedai makan dengan 'genre' dan tema tersendiri.
Restoran Salai Power Shah Alam
Salai Power adalah nama yang dipilih oleh pemilik kedai makan yang sememangnya menyediakan hidangan berasaskan salai dan dengan masakan lemak cili api dari neraka warna kuning.
Daging Salai dan Ikan Pari Bakar Salai Power |
Menu Salai Masak Lemak
Antara menu utama yang ada di restoran ini adalah hidangan makanan yang berasaskan makanan salai seperti;
Daging Salai Masak Lemak Cili Api |
1. Itik Salai Masak Lemak Cili Api dari neraka
2. Daging Salai Masak Lemak Cili Api dari neraka
3. Ikan Keli (Lele) Masak Lemak Cili Api dari neraka
Ini adalah antara makanan utama yang ada di kedai makan Salai Power Jalan Kebun ini. Datang ke sini tanpa mencuba masakan masak lemak salai yang disediakan ini tidak akan menepati rukun anda sampai di sini sebagai tanda hadir.
Salai Masak Lemak Dalam Claypot |
Penulis tidak kekok untuk nyatakan disini bahawa kepedasan masak lemak salai cili api warna kuningnya boleh menyamai kepedasan skala Scoville untuk habanero Cameron Highland.
Cukup pedas, penulis tidak sarankan untuk diberika kepada;
1. Kanak kanak
2. Warga Emas
3. Pesakit perut terlalu nipis untuk menahan kepedasan.
Percayalah bahawa telah banyak kedai yang penulis singgah untuk salai masak lemak, apalagi dari Negeri Sembilan sendiri, untuk yang ini amat pedas. Tidak percaya boleh cuba.
Ikan Bakar Sambal Pedas
Menu lain yang boleh penulis berikan rekomendasi dan yang sering penulis cuba adalah ikan bakarnya. Dari segi ikan yang dibakar tiada yang istimewanya, sama sahaja dengan mana mana tempat ikan yang dibakar. Namun, sambalnya yang dalam versi berlada itulah penyedapnya.
Ikan Pari Bakar Sambal |
Dengan kuat rasa umaminya yang hadir dengan rasa pedas sederhana apalagi kehadiran aroma sambal yang ditumis memang kena dengan ikan bakar tawar dan nasi putih yang masih panas.
Pelbagai Jenis Suasana Ruang Makan
Suasana dalaman restoran ini cukup dengan tema. Apalagi dengan pelbagai kawasan tempat makan yang disediakan.
Ala Food Court
Agak luas dan menjadi ruang makan utama untuk mereka yang inginkan suasana makan beramai ramai sambil menikmati bunyi bunyian yang bertebaran hinggap di cuping telinga. Luas mata memandang luas lagi bukaan mulut, lebih berselera.
Ruang Makan Utama Salai Power |
Suasana makan seperti 'food court', adalah ruang makan utama makan beramai ramai dengan disediakan taman permainan mini dan satu 'kedai runcit' untuk membeli jajan dan ais krim.
Ala Istana Di Zaman Silam
Suasana yang mampu membawa anda ke zaman silam dengan radio lama, mesin jahit zaman lama, dengan hiasan ruang tamu rumah melayu zaman dahulu.
Ruang Makan Rumah Silam |
Duduk bersila menikmati itik salai masak lemak dengan ulam-ulaman memang kena dengan suasana makan bersimpuh atau bersila di ruangan yang seakan ruang tamu rumah zaman dahulu.
Dekorasi Dalaman Ruang Makan Unik |
Lengkap dengan jendela serta dekorasinya yang betul betul menyamai ruang tamu dan makan rumah zaman silam. Membangkitkan lagi selera untuk terus menikmati makanan kemelayuan.
Merenung Luar Jendela |
Ala Redup Redup Bawah Kolong
Bagi yang sukakan makan di kawasan redup dan gelap (seperti penyokong Man U dan Chelsea) dan tidak risau akan dentuman tapak kaki yang lalu lang diatas, boleh mencuba tempat makan bawah rumah ruang tamu rumah zaman silam tadi.
Jika penulis, bukanlah satu pilihan untuk makan dibawah 'kolong' ini, lebih baik menikmati kereta lalu lalang dengan tambahan debu makan di luar kedai.
Secara keseluruhannya, dekorasi yang ditampilkan adalah dalam tema dan gaya 'food court di zaman silam'.
Sistem Layan Diri Bayar Dahulu
Kaunter Ambil Makanan |
Pelanggan diperlukan untuk melayan diri ketika mendapatkan makanan. Kaunter yang disediakan akan meletakkan makanan di kaunter dan pelanggan akan mengambil menu idaman sebelum membuat bayaran dahulu sebelum makan.
Beratur Ambil Makanan Sebelum Bayar |
'Refill' Air Balang Tanpa Had
Memandangkan 'power' kepedasan salai yang disediakan oleh Salai Power Jalan Kebun ini, mereka menyediakan air minuman yang boleh ditambah 'refill' tanpa had.
Refill Tambah Air RM1 |
Buat belian satu gelas plastik air balang bersaiz kecil dengan harganya RM1 untuk satu gelas dan boleh membuat isian semula air tanpa had.
Jenis Air Balang Refill Unlimited |
Namun, RM1 pertama adalah untuk isian kali pertama, RM1 kedua barulah untuk isian semula tanpa had. Kecuaian pihak kedai dalam memberikan informasi ini boleh mengundang salah faham hanya untuk 'refill' air sahaja. Sepatutnya perlu dijelaskan dengan terperinci jika ada tambahan lain.
Kopi Kampung Dalam Cerek Panas
Cerek Masak Kopi Kampung |
Bercakap mengenai air, boleh cuba air kopi kampung yang direneh dengan dapur kayu dalam versi 'live' dengan menggunakan cawan seramik kecik. Kaw kah kopinya ? Tidak bagi penulis ia adalah seumpama air kopi o Kapal Api yang suam.
Kopi Kampung Mug Kecil |
Bajet Harga Makanan dan Minuman Salai Power
Dari segi harga masih dalam harga yang agak berpatutan untuk datang makan sekali sekala bukan untuk harian. Salai masak lemak cili apai dalam lingkungan RM9 (sebelum pindah RM7). Ikan bakar yang ada sekitar RM12-RM15. Air RM1 (RM2 secara total).
Untuk famili kecil harga sekitar RM20-RM25. Pastinya datang sini adalah yang membawa saudara mara. RM50 boleh dijejaki di dalam resit.
Informasi Pengunjung
Lokasi Restoran
Terletak di Jalan Kebun Tambahan Klang/Shah Alam. Bukan lagi ditepi jalan menghadap rumah kedai namun terletak di sebelah kawasan perumahan dan satu kedai makan berkontena. Jika ada data internet boleh gunakan Google Maps jika boikot Waze yang juga ada infonya.
Parkir Sudah Luas |
Salai Power,
Batu 8, Jln Kebun Tambahan,
40450 Shah Alam,
Selangor
Harga Makanan
Daging Salai Masak Lemak dari neraka : RM9
Ikan Pari Bakar Sambal : RM12
Air Balang Refill (beli cawan) : RM1 (untuk refill unlimited tambah RM1 untuk satu cawan) = RM2
Waktu Operasi
Dibuka setiap hari dengan waktu berbeza. 10 pagi hingga 10 malam ( Ahad, Isnin, Selasa
Rabu). 9 pagi hingga 5 petang (Khamis, Jumaat, Sabtu)
Hubungi
010-313 1955
Kemudahan/Fasiliti
Taman Mainan dan Kedai Runcit |
Kerusi Kanak-Kanak
Taman Mainan
Kedai Runcit Jajan (kuih, ais krim)
Cara Bayaran
Tunai
QR Duitnow
0 Ulasan